[11]
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa
kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: “Sujudlah kamu
kepada Adam”, lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk
dalam golongan yang sujud.
[12]
Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud
ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam,
Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan
dari tanah.”
[13]
Allah berfirman: “Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut
engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah,
sesungguhnya engkau dari golongan yang hina”.
[14]
Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)”.
[15]
Allah berfirman: “Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu)”.
[16]
Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku
tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi
mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;
[17]
“Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang
mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak
akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”.
[18]
Allah berfirman: “Keluarlah engkau dari Syurga sebagai makhluk yang
terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang
menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi neraka jahanam dengan (golongan)
kamu (yang derhaka) semuanya;
[19]
“Dan wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu di dalam Syurga serta
makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai,
dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka
akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim”.
[20]
Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua
supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang
(sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata:
“Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini,
melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau
menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)”.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar